Friday, August 15, 2008

Assalamualaikum. Sempena kedatangan salah sebuah hari mulia bagi orang-orang mukmin iaitu Hari Nifsu Syaaban, saya ingin berkongsi dengan anda kebaikan-kebaikan dan amalan-amalan yang boleh kita usahakan pada hari yang penuh barakah ini.
Pada 16hb Ogos 2008 yang bersamaan dengan 15hb Syaaban 1429hj ini kita akan didatangi sekali lagi hari yang penuh bermakna ini iaitu Hari Nifsu Syaaban, Alhamdulillah; segala puji bagi Allah. Tatkala hari tersebut menjelang, buku catatan amalan kita akan ditukar baru. Selepas Maghribnya pula, segala amalan-amalan kita akan dicatitkan dalam buku yang baru.
Tatkala tibanya hari Nifsu Syaaban ini, umat Islam disunatkan menunaikan solat sunat dua rakaat Nifsu Syaaban setelah tunainya solat fardhu Maghrib. Pada rakaat yang pertama, kita akan membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Qadar satu kali, seterusnya pada rakaat kedua, surah Al-Fatihah disusuli dengan surah Al-Ikhlas tiga kali.
Setelah tamatnya ini, para jemaah akan membaca surah Yasin 3 kali. Untuk Yasin yang pertama, kita memohon dipanjangkan umur kita agar kita dapat bertaubat kepadaNya, yang kedua adalah untuk kita memohon rezeki yang halal juga untuk beribadat kepadaNya dan untuk yang ketiga kita memohon agar ditetapkan keimanan dan keIslaman kita dan juga mohon agar dimatikan kita dalam keadaan beriman dan bolehlah juga kita memohon untuk perkara-perkara yang baik.
Selepas ini, kita beristighfar dan berselawat sebelas kali dan membaca doa Nifsu Syaaban.
Diikuti pula dengan bacaan surah Al-Ikhlas sebanyak seratus kali.
Kita juga disunatkan agar dapat berpuasa sunat pada siang harinya bagi mereka yang berdaya.
Bulan Syaaban atau yang selalu dikatakan sebagai bulan Rasulullah saw ini, banyak kelebihannya. Di antaranya ialah tubuh kita akan diharamkan dari api neraka dan menjadi teman kepada Nabi Yusuf as sekiranya kita berpuasa untuk satu hari dalm bulan Syaaban ini. juga diriwayatkan dari Osman Bin Abi Al-As, sabda Nabi Muhammad (saw) : pada malam nisfu sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.
Dan, sekiranya ada niat kita untuk merebut ganjaran-ganjaran yang tertera di atas, sebaiknya kita meminta maaf kepada saudara-mara serta ibu-bapa dan kenalan-kenalan kita supaya ibadah kita di terima oleh yang Maha Esa.
Marilah kita sama-sama memanfaatkan peluang yang masih lagi dititipkan kepada kita. Salah seorang teman Rasulullah telah meriwayatkan bahawa pada zaman Rasulullah dahulu kala, dunia ini sudah seperti nenek tua yang sudah membongkok... Ingatlah bahawa kedatangan mati dan kiamat itu adalah sesuatu yang PASTI. Wallahua'lam.