Tuesday, January 1, 2008
in malay
Assalamualaikum. Salam sejahtera dan Selamat tahun baru, 2008! Sebuah lembaran baru telah terbuka tirainya. Penuh visi, resolusi dan impian untuk direalisasi. Apa pun, kita tidak patut lupa mahupun tinggalkan kenangan tahun 2007 bertempiaran di awangan kesepian tidak berhaluan. Perlu dipetik, diracik, ditarik segala pelajaran mahupun pengetahun yang berbuah sepanjang tahun lalu. Memang sudah menjadi suatu 'cliche' apabila seseorang mengatakan bahawa kita perlu lupakan yang sudah berlalu. Namun, perlu kita amati yang setiap kejadian, petunjuk yang diberikan bukanlah suatu lakonan arahan Tuhan semata, bahkan ianya adalah penggerak hebat buat kita mengorak langkah yang seterusnya.
Hari demi hari berlalu, fantasi duniawi membuat kita lupa yang hari Penentuan semakin tiba memanggil kita. Saya juga tidak terkecuali. Namun, saya sesal, kesal yang teramat apabila melihat kembali sepanjang tahun yang sudah. Kosong, tanpa erti. Perkhidmatan negara telah membuat saya lalai. Ketiadaan masa untuk berterima kasih kepadaNya telah membuat saya lalai, terus dibuai dodoian Syaitan. Sesungguhnya dapat diputarkan masa, ingin saya sedarkan setiap kealpaan dan memekakkan telinga dari setiap bisikan si pemusnah anak Adam. Namun, ianya diluar kekuatan, kebolehan, kemampuan saya.
Saya kini bersyukur kerana diberi peluang oleh Dia untuk melayari kehidupan di dunia ini buat yang ke-20 tahun. Telah dua dekad saya di dunia ini, tetapi apa yang telah saya lakukan untuk menunjukkan rasa syukur kepada Dia, sang Pencipta? Saya kesal. Ini bukan suatu ratapan, tetapi suatu penyesalan. Ingin saya perbetulkan mana yang salah, perluruskan mana yang tidak berarah, perhaluskan mana yang hambar serta peringatkan mana yang lupa.
Orang kata, "How you start your new year is how you going to spend the rest of the year!" Entah benar entah tidak tapi mengapa tidak kita mulakannya dengan cara yang baik. Let start it right, people. Telah banyak nikmat yang saya kecapi tapi semakin banyak saya perolehi, semakin tenggelam saya dalam lembah yang menjahanamkan. Wahai teman, jadilah cermin yang benar bagiku. Tegur dan peringatkanlah diriku ini agar tidak semakin jauh aku sesat dalam kegelutan dunia yang hanya membinasakan. Marilah kita saling mengingatkan satu sama lain.